Saturday, February 21, 2009

Memorandum Mahasiswa/i UM Tanda Sokongan

MEMORANDUM SOKONGAN PADU MAHASISWA UNIVERSITI MALAYA KEPADA KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN AZLAN SHAH TUANKU CANSELOR UNIVERSITI MALAYA DAN TUANKU RAJA DR. NAZRIN SHAH TUANKU PRO-CANSELOR UNIVERSITI MALAYA OLEH: SEKRETARIAT PRESIDEN KOLEJ-KOLEJ KEDIAMAN UNIVERSITI MALAYA (SPKUM) KELAB KEBUDAYAAN CINA UNIVERSITI MALAYA PERSATUAN BAHASA TAMIL UNIVERSITI MALAYA PERSATUAN MAHASISWA TINGGAL LUAR KAMPUS Tarikh : 10 Februari 2009 Rujukan : Memo2/su/spkum/UM/08/09 Kepada: Y.BHG. PROFESOR DATUK DR. GHAUTH JASMON Naib Canselor Universiti Malaya Y.Bhg.Profesor Datuk, MEMORANDUM SOKONGAN PADU MAHASISWA UNIVERSITI MALAYA KEPADA KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN AZLAN SHAH TUANKU CANSELOR UNIVERSITI MALAYA DAN TUANKU RAJA DR. NAZRIN SHAH TUANKU PRO-CANSELOR UNIVERSITI MALAYA Pendahuluan Kami sebagai mahasiswa Universiti Malaya ingin menyatakan kekesalan dan kekecewaan kami yang tidak terhingga di atas senario politik dan suasana kelam-kabut yang berlaku di Negara ini khususnya di negeri naungan Tuanku Canselor Universiti Malaya, KDYMM Sultan Azlan Shah, Negeri Perak Darul Ridzuan. Sebagai Mahasiswa di sebuah Universiti yang di naungi di bawah payung mahkota baginda, adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan kami untuk sentiasa teguh berdiri mendokong dan menyokong kewibawaan dan maruah baginda. Kemelut politik yang melanda Perak pada hari ini secara langsung telah memberi kesan yang sangat buruk imej Negara di mata dunia. Bahkan lebih teruk lagi, kemelut dan perbalahan antara parti-parti politik ini telah mengheret sama Institusi Kesultanan tercalit kekotorannya. Seperti juga kuasa Raja Berperlembagaan di lain-lain negeri yang diperintah raja atau sultan, dalam kes di negeri Perak ini, mahasiswa berpendapat bahawa Sultan Perak mempunyai beberapa kuasa khusus yang tidak boleh dicabar atau dipersoalkan. Pertama baginda boleh bersetuju atau tidak bersetuju membubarkan Dewan Undang Negeri susulan mana-mana permintaan atau nasihat. Kedua, kuasa melantik seseorang daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pada hematnya mempunyai sokongan majoriti daripada kalangan ADUN berkenaan. Ketiga, hak mengemukakan permintaan untuk mengadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai kemudahan, kedudukan, penghormatan dan kebesaran diraja serta hak dan kuasa penentu sebagai ketua agama Islam dan payung adat istiadat Melayu di negeri Perak. Baginda berhak menentukan tidak menerima nasihat untuk membubarkan DUN tanpa memberi apa-apa sebab. Kuasa dan peranan diraja ini tidak boleh dicabar di mahkamah sama ada menerusi konsep fraudem legis (muslihat negatif legislatif atau dewan perundangan) atau peruntukan statutori lain. Keempat, Sultan Perak di bawah Perkara 16(2)(a) berhak melantik (sebelum melantik ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan) seorang Menteri Besar yang pada hemat baginda berkemungkinan beroleh sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri berkenaan. Dalam Perlembagaan Negeri-negeri dan juga Persekutuan, peruntukan ini sedia ada, cuma cara dan kaedah bagaimana sultan atau raja menyempurnakan fungsi ini tidak dinyatakan huraiannya di dalam Perlembagaan. Di bawah Perlembagaan Negeri Perak tiada peruntukan yang menghalang sultan daripada menamatkan perkhidmatan seseorang MB jika baginda mendapati bahawa MB itu sudah tidak lagi beroleh sokongan majoriti anggota DUN. Artikel 16(6) jelas memperuntukkan perihal ini. Harus diperhatikan lantaran di bawah provisi Artikel 16(4), raja mempunyai budi bicara yang luas untuk menentukan siapa harus dilantik sebagai Menteri Besar. Bahasa perlembagaannya menentukan bahawa ADUN yang dilantik sultan sebagai MB hendaklah terdiri daripada seorang yang pada hemat baginda berkemungkinan beroleh sokongan majoriti anggota Dewan berkenaan atau dalam bahasa Inggerisnya "who in his judgment is likely to command the confidence of the majority of the members of the Assembly". Ada pakar-pakar perlembagaan yang berpandangan bahawa memadai jika pihak diraja membuat keputusan subjektifnya tanpa mengadakan pengundian di sesuatu persidangan DUN bagi menentukan sokongan terhadap seseorang MB. Mengadakan undian di DUN bukan merupakan satu-satunya cara untuk menentukan sokongan atau sebaliknya terhadap seseorang MB. Sultan Perak khususnya boleh membuat kaedahnya sendiri sejajar dengan Artikel 16(4) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Kes-kes terdahulu yang boleh dijadikan perbandingan, termasuklah kes Stephen Kalong Ningkan (1966) dan kes pertikaian Ketua Menteri di Sabah khususnya pada tahun 1994 dan perihal seorang pembesar di Nigeria melalui kes Adigbenro Akintola. Memang ramai yang menganggap bahawa kaedah melucutkan jawatan seseorang Ketua Kerajaan ialah melalui konvensyen undian di lantai dewan legislatif. Tetapi harus ditegaskan kes-kes tersebut adalah nas-nas perundangan case law yang tidak terbit daripada peruntukan perlembagaan yang jelas atau khusus seperti di Perak. Ia tidak sama dengan kuasa yang ada pada Sultan Perak di bawah Perkara 16(4) Perlembagaan negeri itu yang bermaksud: Dalam perkara melantik seseorang Menteri Besar, Duli Yang Maha Mulia Sultan bolehlah mengikut budi bicara baginda mengecualikan atau tidak memakai mana-mana peruntukan Perlembagaan ini (Perlembagaan Negeri Perak) berkaitan mana-mana had kuasa (restrictions) berhubung dengan pelantikan Menteri Besar, jika pada pendapat baginda tindakan sedemikian perlu untuk menyempurnakan kehendak peruntukan-peruntukan Perkara (16) ini. Dengan perisai peruntukan ini jelaslah bahawa baginda sultan tidak terikat untuk mengikuti mana-mana kelaziman atau konvensyen seperti untuk mengadakan undian sokongan (vote of confidence) di Dewan Undangan Negeri bagi menentukan seseorang anggota DUN itu layak dilantik sebagai MB. Berdasarkan hujahan-hujahan yang di kemukan di atas, kami seluruh mahasiswa/I Universiti Malaya tetap menyokong penuh tindakan dan keputusan yang di buat oleh DYMM Tuanku Canselor kami dalam usaha baginda untuk memperkukuh dan mengekalkan kestabilan rakyat negeri Perak Justeru kami mahasiswa menuntut agar ; 1. Menuntut agar Kuasa Sultan dan Kewibawaan baginda tidak di cabar oleh mana-mana pihak selaras dengan bidang kuasa baginda sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan dan mengheret mana-mana pihak yang membuat provokasi dan tuduhan melampau terhadap baginda Sultan di kenakan tindakan yang sekeras-kerasnya. 2. Menuntut agar parti-parti politik di Negara ini agar menghentikan segala provokasi dan fitnah-fitnah politik yang melibatkan kesucian dan maruah Institusi Beraja di Negara ini. 3. Semua Mahasiswa dan Rakyat Malaysia berpegang teguh kepada prinsip-prinsip asas rukunegara yang menjadi tunjang kepada perpaduan di Negara Malaysia. Penutup: Kami mengharapkan agar tuntutan ini diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya. Selaras dengan kemuliaan dan kewibawaan pemerintahan Baginda Sultan yang adil dan bijaksana, seluruh rakyat Malaysia dapat bersatu dan memperkukuh perpaduan dalam menangani konflik sebeginidaripadaberulang. Sekian terima kasih. Memorandum ini di sokong oleh: Sekretariat Presiden Kolej-Kolej Kediaman Universiti Malaya (SPKUM) Saudara Wan Mohd Hasif Wan Muhamat Ali Wakil SPKUM Kelab-kelab Kebudayaan Cina Universiti Malaya Saudara Shum Khay Yeap Wakil CCC UM Persatuan Bahasa Tamil Universiti Malaya Saudara Muthu Wakil PBTUM Persatuan Mahasiswa Tinggal Luar Kampus (PUSPITA) Saudara Mohd Firdani Wakil PUSPITA

0 comments:

Related Posts with Thumbnails