Tuesday, June 09, 2009

1MALAYSIA....

Salam…hari ini rata-rata penduduk Malaysia sedang membicarakan konsep yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Konsep 1 Malaysia yang dibawa oleh DSN bertujuan untuk melihat rakyat Malaysia hidup sebagai satu Bangsa. Berserta dengan motto “Rakyat didahulukan, Percapaian diutamakan” yang disandang bersama-sama dengan konsep tersebut maka sebanyak 8 nilai telah digariskan sebagai intipati kepada kejayaan konsep tersebut. Antara perkara yang telah digarapkan seperti: Hari nilai pendidikan yang telah digariskan sebagai Bahagian ke-7 dalam lapan nilai dalam konsep 1Malaysia telah menarik minat untuk dibicarakan. Memetik kenyataan Dato’ Seri Mohd Najib “Kita dikekang oleh kenyataan bahawa kita mempunyai aliran (pendidikan) yang berbeza di dalam negara. Kita tidak mempunyai aliran tunggal dan dengan demikian, kita tidak mempunyai aliran kebangsaan. Sedangkan aliran kebangsaan sendiri telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular. Ia menjadi kedua-duanya kekuatan dan masalah dan cabaran kepada kita kerana kita tidak berpeluang untuk membolehkan rakyat Malaysia membesar bersama melalui satu saluran pendidikan dari segi fizikalnya, sebaliknya mereka akan diasingkan. 95 peratus daripada bangsa Cina akan memasuki sekolah Cina dan 97 peratus daripada bangsa Melayu akan memasuki sekolah kebangsaan. Maka kita akan kehilangan peluang. Namun apa yang boleh kita lakukan ialah memastikan terdapatnya peluang untuk kita berinteraksi dengan melihat kepada kurikulum dan menekankan kepada nilai bersama, agar walaupun kita terpisah secara fizikalnya, tetapi jika dipenuhi dengan nilai sistem yang serupa, pada satu peringkat masa diharap kita akan bertemu pada satu titik persamaan. Apabila kita bertemu dalam erti kata fizikalnya, kita akan berupaya untuk menghargai satu sama lain dengan lebih baik lagi” Jika dilihat pada sejarah semasa pemerintah British dahulu, sekolah yang dibina oleh kerajaan British adalah bersifat sekolah inggeris dan rata-rata pelajar yang memasuki persekolahan tersebut adalah dari golongan pemerintah dan mereka yang berkemampuan. Malah sekolah yang diwujudkan juga diasingkan tempatnya mengikut petempatan kaum yang telah ditetapkan oleh British.Sekolah untuk melayu didirikan di kawasan kampung, golongan cina di bandar dan kaum india di estet-estet. Ini akibat daripada sistem pemerintahan yang telah dilaksanakan oleh British ketika dahulu iaitu sistem Pecah dan Perintah. Malahan pendidikan yang dilakukan juga hanya bertujuan untuk memberikan ilmu kepada anak-anak agar lebih pandai sedikit daripada bapa dan ibu mereka dan cukuplah hanya pandai menulis, membaca dan mengira. Perkara ini menyebabkan berlakunya jurang di antara melayu, cina dan india dalam pendidikan. Yang paling ketara adalah perbezaan diantara orang melayu dengan cina dan india. Ini kerana british segaja membiarkan orang melayu ini ketinggalan dalam pendidikan supaya kesedaran mengenai segala perancangan dan tuntutan ke atas British dapat dielakkan. Namun setelah mencapai kemerdekaan, beberapa proses ini telah dilakukan untuk merapatkan jurang pendidikan ini. Melalui Penyata Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957 terdapat beberapa perkara telah dititikberatkan iaitu: • Pembentukan satu sistem pendidikan kebangsaan • Pengakuan matlamat akhir Bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar utama • Permulaan kurikulum yang berorientasikan alam sekeliling Malaysia • Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua Jika dilihat, kita dapat merumuskan bahawa melalui Penyata Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957 ini telah terdapat usaha ke arah menjadikan pendidikan sebagai satu modul untuk ke arah satu bangsa. Jika sebelum merdeka tidak ada satu sistem khas yang telah ditetapkan oleh kerajaan British dalam pendidikan. Sekolah melayu diajar dalam bahasa melayu, sekolah cina diajar dalam bahasa ibunda mereka dan begitu juga dengan india. Namun dalam Penyata Razak dan Ordinal 1957 ini telah membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan yakni sistem sekolah ini tidak kira sekolah melayu, cina dan india memiliki sistem pendidikan yang sama malahan bahasa pengantarnya juga adalah sama iaitu Bahasa Malaysia. Dan pada hari ini, giliran Dato’ Seri Mohd Najib juga melihat nilai Pendidikan sebagai satu nilai yang boleh digunapakai untuk membentuk masyarakat 1Malaysia. Apa yang dilihat dan difikirkan oleh Dato’Seri Mohd Najib adalah kesinambungan konsep Sekolah Wawasan yang telah dilaksanakan sebagai satu mekanisme yang baik untuk membentuk 1Malaysia. Memang benar Sekolah Wawasan ini masih terpisah dari segi fizikal sebagaimana kenyataan Dato’ Seri Mohd Najib kerana dalam Sekolah Wawasan tersebut masih terdapat pemisahan di antara blok bangunan sekolah masing-masing, namun hasil daripada interkasi antara kaum masih boleh wujud kerana terdapat beberapa perkara yang memerlukan perkongsian dan interaksi di antara pelajar ini. Antaranya di kawasan tempat makan dan aktiviti/program yang dilancarkan. Nilai pendidikan ini juga mampu dilihat untuk membentuk 1Malaysia melalui ekonomi. Bagaimana? Hari ini kerajaan mahu melihat semua rakyatnya mendapat pendidikan yang sempurnanya kerana ilmu membolehkan seseorang rakyat mengubah status / taraf keluarga. Pelbagai usaha dilakukan untuk membolehkan rakyatnya terutama golongan muda menimba ilmu seperti pinjaman dan biasiswa. Proses ini sekaligus membolehkan anak-anak menuntut ilmu sehingga mampu mengubah taraf ekonomi keluarga masing-masing dan sekaligus mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia. Malah pendidikan yang diberikan juga bukan hanya dalam bentuk pengajian di institusi pengajian tinggi tetapi juga melalui beberapa skim bantuan seperti kursus-kursus perladangan atau usahawan. Ini hanya semata-mata untuk memberi ruang dan suntikan kepada rakyat Malaysia memperolehi ilmu yang memboleh mendatangkan sumber ekonomi kepada rakyatnya yang sekaligus dilihat mampu untuk merapatkan jurang pendapatan setiap kaumnya. Jika dilihat dari segi politik, dasar pendidikan negara dilihat sebagai satu wacana untuk membentuk sebuah sistem pendidikan yang menjurus kepada sistem pendidikan kebangsaan yang seterusnya menjadi pemangkin kepada pembentukan 1Malaysia. Pembentukan dasar ini telah dilaksanakan dan hasilnya sistem pendidikan ini telah melahirkan rakyat yang memiliki nilai-nilai yang dicanangkan dalam 1Malaysia. Jika dilihat dalam stuktur pentadbiran negara terutama dalam kementerian pelajaran jelas terdapat satu sistem integerasi yang tersirat. Sistem integarsi yang dimaksudkan adalah, bagaimana jawatan Menteri dan Timbalan Menteri terdiri daripada pelbagai kaum. Ini membolehkan perbincangan dasar pendidikan merangkumi keperluan pelbagai kaum malah boleh berkongsi bersama. Dengan adanya kuasa politik maka PPSMI dapat dilaksanakan. Walaupun terdapat banyak tentangan dari pelbagai pihak namun hasrat sebenar PPSMI untuk menaiktarafkan sistem pendidikan Malaysia. Perlaksanaan PPSMI adalah perlu kerana teknologi dunia semakin pantas mengorak langkah yang menyebabkan kerajaan terpaksa memikir satu langkah yang dapat membantu rakyatnya dalam mengejar perkembangan teknologi tersebut. Ini kerana kebanyakan istilah dan bahan rujukan yang diperlukan dalam sistem pembelajaran adalah dari Bahasa Inggeris. Malah perterjemahan kedalam bahasa Malaysia mengambil masa dan peruntukan yang tinggi. Sekiranya perterjemaah ini dilakukan juga maka sistem pendidikan Malaysia juga tidak mampu untuk bergerak seiring dengan kemajuan teknologi. Jika dilihat daripada gamabaran skop yang lebih besar 1Malaysia ini adalah sebenarnya memperkenalkan satu konsep rakyat dan negara perlu maju dari pelbagai segi terutamanya dalam bidang intelektual. Hasrat Dato’ Seri Mohd Najib memperkenalkan 8 Nilai merupakan kunci kepada perpaduan masyarakat berbilang kaum yang dimulakan dengan nilai Pendidikan. Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Surah Al-Alaq:ayat 1

0 comments:

Related Posts with Thumbnails